Menurut Wan Mustaqim Wan Ab Aziz, penganalisis Kenanga Research dalam nota penyelidikannya, “Sime Darby akan mendapat manfaat daripada pelancaran Perodua D66B dan Toyota Yaris Cross yang dijangka diperkenalkan menjelang April ini”.
Bagi anda yang belum tahu, jangkaan daripada penganalisa selalunya tepat dan ini secara tidak langsung bermaksud kedua-dua SUV segmen B ini mungkin dilancarkan seawal April 2024.
Walau bagaimanapun, itu sahaja yang beliau dedahkan dalam analisa tersebut. Jadi, masih terdapat banyak tanda tanya yang belum terjawab. Apa-apapun, Wan memaklumkan bahawa, “Kehadiran Sime Darby dalam pasaran automotif tempatan akan diperluaskan menerusi jenama Toyota dan Perodua berbanding tawaran premium di bawah edaran yang ada selama ini”.
Bagi anda yang belum tahu, Toyota Yaris Cross adalah kembar kepada SUV Perodua akan datang yang sinonim dengan nama Nexis.
Model di pasaran jiran menawarkan Toyota Yaris Cross dengan enjin 1.5L NA 2NR-VE (106 PS/138 Nm) yang dipadankan dengan transmisi CVT. Varian hibrid pula datang dengan nadi 1.5L 2NR-VEX (91 PS, 121 Nm) yang dibantu oleh motor elektrik berkuasa 80 PS/121 Nm. Sumber tenaga ini dipadankan dengan transmisi CVT.
Sebagai kembar kepada SUV ini, Perodua Nexis juga dijangka hadir dengan trenkuasa sama tetapi varian hibrid yang mungkin menjadi hibrid (HEV) pertama Perodua juga mungkin diperkenalkan kemudian.
Untuk makluman anda, pembangunan D66B dimaklumkan telah bermula sejak September 2022 lagi.
Source: Perodua D66B & Toyota Yaris Cross dijangka membuat pelancaran menjelang April 2024 – Kenanga