Dalam satu wawancara bersama akhbar sohor kini di Malaysia, Jabatan Kerja Raya (JKR) mengatakan bahawa Lebuhraya Pulau Indah, Klang, Selangor adalah salah satu daripada tiga lokasi yang jalannya terjejas teruk akibat menjadi laluan utama buat kenderaan berat melebihi muatan.
Dua lagi lokasi yang mempunyai masalah sama ialah Jalan Permatang Pauh, Pulau Pinang dan Jalan Aring 8-Jeneris, Kelantan.
Ulas JKR, “Setiap jalan raya direka bentuk mengikut jangka hayat tertentu. Bagi jalan berisi padu trafik rendah seperti jalan luar bandar, jangka hayat reka bentuk kebiasaannya sehingga 10 tahun. Bagi jalan raya berisi padu trafik sederhana atau tinggi, jangka hayat reka bentuk adalah sehingga 20 tahun”.
Menurut pihak berkuasa itu lagi, “Sewaktu sesebuah kenderaan melalui sesuatu jalan dengan membawa muatan lebih 10% daripada berat dengan muatan (BDM), jangka hayat jalan raya itu dijangka menurun sehingga 50% daripada jangka hayat asal.”
Juga baca: SIRIM perkenal sistem pengesan berat kenderaan, khas untuk bendung isu jalan rosak di Malaysia
“Sekiranya kenderaan itu membawa muatan lebih 20% daripada BDM dibenarkan, jangka hayat jalan raya akan menurun sehingga 100% daripada jangka hayat asal, sekaligus menyebabkan kerosakan berlaku dalam tempoh singkat.”
“Ini bermakna jalan raya yang direka bentuk dengan jangka hayat 10 tahun yang dilalui kerap oleh kenderaan bermuatan lebih 10% daripada BDM hanya akan dapat bertahan untuk lima tahun sahaja.”
“Apabila kenderaan membawa muatan melebihi BDM dibenarkan, jalan akan cepat rosak dan kerja-kerja pembaikan perlu dilaksanakan lebih awal dari tempoh sepatutnya.”
Jelas JKR, sekiranya penyelenggaraan tidak dilaksanakan pada waktu sepatutnya, keadaan struktur turapan akan merosot dengan lebih teruk. Ia sekaligus menyebabkan kaedah pembaikan menjadi lebih mahal dan menggandakan kos penyelenggaraan secara keseluruhan.
Juga baca: Jalan rosak di Semenanjung dah tahap tak boleh pakai, kos baiki boleh cecah RM 3.4 bilion!
Source: Kesan laluan kenderaan berat lebih muatan, ini 3 jalan paling ‘HANCUR’ di Malaysia!